Essay by Ramli Ibrahim


 

Cinta tercipta…
And there is Love…
Pameran senilukis ciptaan Syed Thajudeen
Balai Seni Lukis Negara

Ramli Ibrahim
30 May, 2006

(Diterjemahkan oleh Syed Fazal Syed Thajudeen)

 

Syed Thajudeen dan seni cinta

Dengan pengalaman yang menjangkau lebih dari 30 tahun, Syed Thajudeen Shaik Abu Talib sememangnya telah mencapai status yang unggul di kalangan tokoh-tokoh senilukis Malaysia. Bukti daya kreativiti beliau adalah karya-karya agung ciptaannya yang mengukuhkan kedudukan beliau di persada seni Negara. Pencinta karya-karya beliau telah bersama-sama mengikuti perkembangannya dari awal hingga kini. Jejari halus panjang melentik dengan gambaran mata dan bibir menggoda, dihujani seribu satu warna, kini dapat dikenali oleh semua peminat seni sebagai identiti dan hasil karya Syed Thajudeen. Karya–karya beliau menghiasi dinding balai senilukis, bangunan korporat dan rumah persendirian di dalam dan di luar negara.

Syed Thajudeen menggabungkan motif dan lambang asli, dengan gagasan dan juga tanggapan sejagat, diadunkan pula dengan latar belakang dan persekitaran India. Pada mulanya, beliau disisih kerana lukisannya lebih cenderung terhadap kesenian India. Tapi kini, hasil karya beliau bukan sahaja diterima ramai malah menjadi sebahagian daripada pusaka seni moden Malaysia. Semakin Syed Thajudeen meraikan kecenderungannya terhadap kesenian India, semakin tinggi karya beliau memperolehi keyakinan dan kesungguhan yang dapat dikaitkan dengan seorang pelukis agung.

Hasil karya Syed Thajudeen bukan sahaja menjadi salah satu daripada titik permulaan dalam usaha memangkin dan merealisasikan gerakan seni moden Malaysia, malah karyanya turut memberi definisi ‘modenisme’ dalam konteks senilukis Negara. Walaupun beliau mendapat ilham daripada kesenian India, hasil karya Syed Thajudeen bukanlah tiruan semata-mata tetapi dicipta secara unik menerusi suatu kaedah transformasi. Penerimaan hasil karya Syed Thajudeen oleh orang ramai menjadi penyumbang utama kepada kekayaan, kepelbagaian dan keunikan seni kontemporari Malaysia.

Syed Thajudeen adalah seorang anak Malaysia dari keturunan India. Fakta ini haruslah diterima, difahami dan diraikan. Pengembaraan artistik beliau merupakan suatu kacukan gagasan, lambang dan motif asli Malaysia dengan nilai-nilai estetika dan metafizikal kesenian India. Hasilnya, karya artistik beliau menjadi bukti kenyataan kontempori moden yang unggul dan istimewa – diterap dengan nilai-nilai sejagat dan juga pada masa yang sama mengandungi nilai-nilai Malaysia.

Walaupun ada kewujudan lukisan-lukisan dinding gua zaman neolitik (Sarawak dan Perak), Malaysia sebenarnya tidak mempunyai tradisi seni lukis yang asli. Zaman penjajahan dari kurun kelapanbelas hingga ke awal kurun keduapuluhan mencetuskan penghasilan lukisan landskap dan cat air , seperti yang dilihat melalui mata pelukis penjajah. Sebelum ciptaan fotografi, seni lukis digunakan secara meluas untuk mendokumentasikan flora, fauna dan penduduk asli. Ia digunakan sebagai bahan kajian mengenai asal-usul dan kebudayaan orang timur. Hasil lukisan tersebut turut menjadi koleksi eksotik penjajah.

Seni lukis mula bertapak sebagai kegiatan masa lapang masyarakat kota di Malaysia pada tahun 1920-an dan 1930-an. Gerakan seni lukis yang pada awalnya amatur dan berdasarkan kaedah realis Barat, secara perlahan berkembang dari segi analitikal dan akaliah. Perbincangan, pendebatan dan pendedahan kepada kumpulan-kumpulan seni lain serta semaraknya perasaan nasionalisme, menimbulkan rasa kesedaran untuk meyumbang kepada masyarakat. Walaupun Malaysia tidak mewarisi sebarang tradisi seni lukis, usaha para pelukis awal ini telah mewujudkan suatu tradisi seni lukis moden dan identiti negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa fakta yang mencetuskan gerakan seni visual Malaysia bermula disebabkan pengaruh Barat. Walaupun ada usaha untuk mencari identiti dan gaya nasional dalam seni visual, namun pelukis-pelukis awal Malaysia selalunya memberi penghargaam kepada seni kontemporari Eropah dan kemudiannya seni visual Amerika Syarikat. Perkara ini juga benar bagi pelukis-pelukis yang dilatih dengan gaya lukisan Shanghai, melalui Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA), Singapura. Pengaruh kesenian klasik dan visual moden Barat berkubu kukuh di minda pelukis-pelukis Asia, hinggakan golongan ini menganggap benua Eropah, terutamanya Paris sebagai pusat seni lukis sedunia.

Tidak lama kemudian, setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, pusat seni lukis sedunia berganjak dari Paris ke New York. Ekspressionisme Abstrak, Taschisme dan berbagai-bagai lagi aliran seni muncul sehinggalah ke aliran Deconstructivisme, memberikan nafas baru kepada New York dan Amerika Syarikat secara keseluruhannya, sebagai pusat kesenian progresif sedunia. Kemodenan didefinisikan (secara rambang) sebagai kemajuan pemikiran yang berlandaskan nilai-nilai Barat. Negara-negara membangun dipandang mundur dan tidak mempunyai sebarang hak ke atas pemikiran progressif dan canggih dalam kesemua bidang ilmu, termasuk bidang kesenian visual dan plastik. (Kematangan dan kesedaran mengenai nilai-nilai sejagat dan kerisauan mengenai kesan kapitalisme di dunia global, sedikit demi sedikit mengubah persepsi minda pelukis-pelukis Asia untuk menerima dan menyedari kewujudan seni visual dan plastik yang mengandungi nilai-nilai estetika unggul, di benua Asia sendiri.)

Ketika itu, tidak terlintas untuk mengenali sesiapa yang ingin mempelajari seni lukis di India. Sekiranya jika ada yang tamat pengajiannya dari India, pengajiannya tidak diiktiraf dan dianggap tidak mencapai taraf antarabangsa. Ini kerana, kesenian India dianggap kurang mantap berbanding kesenian Eropah atau New York, seperti Ecole des Beaux Art, Chelsea atau Pratt Institute…

Keadaan ini terjadi terhadap Syed Thajudeen. Beliau menjadi pemegang ijazah Madras College of Arts (1968-74) yang pertama dan satu-satunya dari Malaysia. Sekembalinya ke tanahair setelah tamat pengajiannya, Syed Thajudeen mendapati pelukis-pelukis Malaysia masih lagi mencari hala tuju. Pada mulanya, mereka lebih cenderung kepada nilai estetika Barat. Kemudiannya, gerakan tersebut memperolehi sentimen nasionalisme selaras dengan keadaan politik negara ketika itu. Pada akhir tahun 70-an dan awal 80-an, seni lukis moden Malaysia mengisytiharkan manifesto-manifesto hebat dan deklamasi-deklamasi dogmatik. Kebetulannya, pada ketika itu fundementalisma Islam baru mula bangkit. Kesannya, timbul satu persoalan – bagaimanakah masyarakat berbilang kaum dan budaya akan menggambarkan diri mereka? Hala tuju yang ingin diambil menjadi rumit – adakah ia kebudayaan Melayu atau Arab yang patut digunakan sebagai ilham kesenian artistik Malaysia?

Gerakan kontemporari negara terus berkembang sambil menyahut panggilan nasionalisme supaya ia lebih berciri ‘Islam’ (dari segi rupa, lebih abstrak dan mengandungi seni khat). Tetapi malangnya, ia menjadi agak kucar-kacir dari segi ilham dan jiwa. Walaubagaimanapun, ia banyak mempengaruhi pelukis-pelukis yang menggemari lukisan abstrak. Pelukis-pelukis yang melukis figura manusia pula terpinggir dan dipandang rendah. Kebanyakan pelukis pada ketika itu, memilih kesederhanaan dan bekerja secara bersendirian.

Setelah pulang dari Madras, Syed Thajudeen bertugas sebagai pensyarah separuh masa di Institut Teknologi MARA (ITM), kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA(UiTM). Syed Thajudeen mendapati dirinya terperangkap dalam suasana artistik yang gersang dan terkongkong. Beliau mengalami kejutan budaya. Gaya pengajaranya yang menekankan kepentingan lukisan figuratif, dikritik dan dirasakan tidak diperlukan lagi. Lukisan beliau yang figuratif dan agak sensual bagi pihak konservatif, tidak selaras dengan zaman tersebut. Akibatnya, beliau merasakan dirinya tidak dikehendaki dan terasing.

Syed Thajudeen kemudiannya bertugas sebagai pegawai di United Asian Bank (UAB kini dikenali sebagai Bank Bumiputra Commerce). Beliau bertanggungjawab ke atas penerbitan majalah berkala dan laporan tahunan. Beliau bertugas di situ selama 26 tahun dan bersyukur kerana UAB dapat memberikan jaminan kewangan supaya beliau dapat terus bergiat aktif dalam bidang seni lukis.

Di dalam kesunyian ruang studio rumahnya, Syed Thajudeen melakar dan melukis tanpa mengenal penat. Di pinggir kota Petaling Jaya, Syed Thajudeen hidup di dunia khayalan romantisnya tersendiri. Secara berterusan, Syed Thajudeen menghalusi gaya seni lukisnya dengan ketelitian yang sangat tinggi. Hasilnya, karya ciptaan beliau berjaya menggabungkan dan mengubah pengaruh kesenian India kepada gayanya yang unik dan tersendiri.

Semasa zaman pendudukan Jepun, ibubapa Syed Thajudeen meninggalkan tempat lahir mereka, iaitu Pulau Pinang, dan melarikan diri ke kampung datuk mereka di India selatan. Syed Thajudeen telah dilahirkan ketika ini pada tahun 1943 di Alagan Kulam, sebuah kampung berdekatan dengan Madurai dan dibesarkan oleh datuk dan neneknya. Madurai adalah sebuah kota purba yang masyhur dengan pesta, perayaan dan kegemilangan, diperkaya lagi dengan tradisi mitos dan kerohanian sejak dahulu kala. Ia menjadi persekitaran yang paling sesuai untuk menyemarakkan api imaginasi seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan mudah dipengaruhi.

Syed Thajudeen mencintai zaman kanak-kanaknya. Ketika itulah, beliau terpesona dan terpukau dengan arca-arca di kuil, lebih daripada lukisan-lukisan seni (India selatan memiliki tradisi seni lukis yang menakjubkan terutamanya berdekatan Thanjavur). Kemungkinan semasa bermain-main di kampung Alagan Kulam ketika zaman kanak-kanaknya itulah, Syed Thajudeen menyedari kewujudan bakat artistik semulajadi di dalam dirinya.

Ketika berumur sebelas tahun, Syed Thajudeen dihantar balik ke Pulau Pinang untuk menyambung persekolahannya. Selepas menduduki peperiksaan Cambridge, beliau pulang semula ke Madurai untuk pengajian pra-universiti. Zaman persekolahannya dipenuhi dengan keasyikan meniru dan menghafal. Akibatnya, potensi artistik beliau tidak dapat ditonjolkan sepenuhnya. Namun begitu, beliau telah pun mula melukis dan melakar. Beliau juga terus mempelajari kesusasteraan Tamil untuk peperiksaan tingginya.

Mujurlah Syed Thajudeen menyedari bakat terpendamnya dan panggilannya sebagai pelukis. Ketika tiba masanya untuk memilih bidang kerjaya, beliau terpaksa meyakinkan ibubapanya supaya membenarkan beliau memilih bidang seni lukis. Perkara ini sangatlah rumit kerana tiada sesiapa di kalangan keluarga terdekatnya yang menceburi bidang tersebut. Bapanya memberi amaran bahawa kerjaya sebagai pelukis tidak akan memberi pulangan dari segi kewangan dan masa depannya tidak terjamin. Namun begitu, bapanya akhirnya akur dengan kehendak Syed Thajudeen. Syed Thajudeen mendaftarkan diri sebagai pelajar di Madras College of Fine Arts pada tahun 1968.

Di Madras, Syed Thajudeen didedahkan kepada hasil lukisan D.P.Roy Chowdhury dan K.C.S Panicker (1917 – 1977), dua gergasi pentas seni lukis kontemporari India selatan pada ketika itu. Mentor-mentor beliau, Anthony Doss, Alfonso Doss, Shanthana Raj, Muniswami dan Shanmuga Sundaram, mengajar beliau asas-asas dan pendekatan teknik-teknik senilukis. Pentas seni lukis Madras ketika itu kebelakangan jika dibanding dengan Bengal dan Baroda. Namun, pentas kesenian India selatan berkembang dan membentuk identitinya tersendiri.

Perkampungan pelukis di Chola Mandalam, yang terletak di tebing Laut India, tidak jauh dari kota purba Mahabalipuram, berada di kemuncak kreativitinya. Karya seni yang dihasilkan dari kampung seni ini berkait rapat dengan kebudayaan di persekitarannya. Mereka juga menggambarkan kisah-kisah mitos. Namun pengaruh Eropah turut wujud dalam sebahagian hasil seni mereka.

Walaupun begitu, bukan pelukis-pelukis atau pentas seni kontemporari India selatan yang mencetuskan kesedaran awal Syed Thajudeen mengenai perihal dirinya yang sebenar.

Seperti yang dinyatakan dahulu, Syed Thajudeen pada mulanya lebih tertawan dengan seni arca berbanding seni lukis. Beliau sebenarnya mengambil masa yang lama untuk memahami dan menghargai sepenuhnya kehalusan seni lukisan miniatur Rajasthan dan zaman pemerintahan Mughal. Penggambaran dan dokumentasian kegemilangan kehidupan harian melalui lukisan merupakan konsep baru kepada Syed Thajudeen. Sebelumnya, penggambaran tema mitologi melalui lukisan menjadi kebiasaan kepada beliau.

Pengembaraan beliau ke seluruh pelusuk India, membuka matanya kepada kepelbagaiaan dan keajaiban alam semula jadi, sifat kemanusiaan dan kesenian artistik. Hasil karya yang tersergam indah menjadi ilham dan pencetus kepada potensi seninya serta keinginannya untuk mencipta. Eropah dan Amerika Syarikat tidak pernah merangsang beliau. Sememangnya, India merupakan tempat beliau terpaut secara rohani dan juga estetik.

Syed Thajudeen mengunjungi Ajanta dan menyaksikan misteri keajaiban gua-gua Elephanta. Di Sirigiya, Sri Lanka, beliau mengalami perasaan yang menggetarkan jiwa ketika menghayati lukisan batu ciptaan pengamal ajaran Buddha yang dipenuhi dengan garisan dan rona sensual. Keagungan Taj Mahal di Agra melahirkan hasratnya untuk mencapai kesempurnaan dan keseimbangan. Semasa perjalanannya di atas sampan sepanjang sungai Ganges, Syed Thajudeen mengkagumi dan takjub dengan kuasa tarikan kerohanian dan keagamaan yang terpamer disitu. Ritual keagamaan yang di lakukan oleh jutaan penganut di tebing Ganges – kyusuk, warak dan ikhlas- dalam pencarian mereka untuk mencapai moksha(kebebasan), telah memberikan beliau inspirasi untuk mencipta karya-karya epik kemudiannya.

Di suatu ketika bila Syed Thajudeen ke Sri Lanka, beliau memutuskan untuk mendaki bukit Adam’s Peak(Tricomalee). Beliau teringat detik kebenaran apabila memperoleh ilham untuk matlamat dirinya sebagai seorang pelukis. Senja menjelang ketika Syed Thajudeen sampai kemuncak bukit tersebut dan terpaksa bermalam disitu. Keesokan harinya, beliau terjaga. Hari masih gelap. Kemuncak Adam’s Peak yang dingin diselubungi kabus tebal. Dari puncak memandang ke bawah, beliau mendapati awan keputihan bagaikan kapas di sekitar. Beliau menyaksikan suatu pemandangan semulajadi yang sangat menakjubkan. Bayang malam menyingkap lembut tirai kegelapan dengan tanda-tanda ketibaan Sang Suria nun jauh di kaki langit. Fajar menyinsing membias seribu satu rona ke seluruh pelusuk alam. Pemandangan yang puitis, romantis dan indah tak terkata itu, membuatkan Syed Thajudeen merasakan dirinya bersatu dengan alam semulajadi dan Tuhan. Beliau terasa jasadnya ringan, terawang-awang di dunia yang penuh keajaiban, menyaksikan dan turut beserta di dalam alam misteri ciptaan Tuhan.

Saat-saat mistikal itu meninggalkan kesan yang mendalam dan beliau merasai seolah-olah jiwa alam sejagat meresapi di sanubarinya dan juga segala alam. Syed Thajudeen telah menyaksikan kuasa Tuhan. Beliau terasa girang. Ia merupakan saat kebenaran buat beliau.

Pada saat itu, Syed Thajudeen mula memahami bahawa pada tahap tertinggi, keindahan dan kebenaran adalah satu. Kata-kata adalah ucapan semata-mata … terbatas, lemah, serba kurang dan tidak diperlukan sama sekali.

Beliau tidak sabar untuk turun dari kemuncak tersebut. Syed Thajudeen terasa keinginan yang tidak terhingga untuk terus mencapai berus dan melukis.

Konsep dan tafsiran cinta serta manifestasinya telah diterokai sepenuhnya oleh Syed Thajudeen. Seorang yang romantis, Syed Thajudeen percaya jasad merupakan ‘hardware’ dan jiwa sebagai ‘software’ kepada matriks kehidupan. Ia mustahil untuk dipisahkan dan di dalamnya terkandung suka-duka dan onak duri kehidupan. Fenomena yang menghubungkan kedua-duanya adalah Cinta. Apa sahaja yang dikatakan mengenai kelemahan isi daging dan mortaliti jasad, ia tetap mustahil untuk mencapai apa-apa keadaan kehidupan tanpanya.
(Kapsyen: “Aku tersilap, aku menyangkakan jasad manusia tidak sempurna. Tetapi didalamnya aku sedari kewujudan kebenaran sejati.” Trimular, penyair India Selatan)

Cinta boleh menyebabkan manusia bersifat kebinatangan dan melakukan perkara terkutuk disebabkan nafsu serakah. Cinta juga boleh mengilhamkan manusia untuk mencapai tahap tertinggi dalam meluahkan rasa kasih kepada Tuhan. Cinta ada pelbagai tafsiran : mempesonakan, takjub, luar biasa, bercanggahan, pedih, berahi dan penuh hasrat. Cinta adalah puitis dan meraikan kejadian manusia – walaupun penuh dengan ketidaksempurnaan. Selepas keinginan untuk hidup dan keselesaan tercapai, cinta memenuhi ruang emosi dan menjadi tunggak dan asas kehidupan. Tanpa cinta, hidup hanya tinggal kekosongan. Hari akan berlalu tanpa makna. Hidup bagaikan pengembaraan melalui terowong gelap menuju maut di pengakhirannya.

Bukankah benar badan yang tanpa cacat cela sahaja yang dapat menjadi bekas suci bagi menampung rohani? Bagi ramai, cinta dan bukan pengecualian daripadanya, adalah bagaikan proses penyulingan. Syed Thajudeen merasakan bahawa jiwa manusia harus melalui pelbagai fasa cinta bagi mencapai Cinta yang sempurna dan tulin agar dapat terus berhubung secara rohani dengan Tuhan.

Seperti kekasih sejati, Syed Thajudeen melukis tema cintanya dengan simbol dan kiasan.

Cinta manusia bermula dengan pertentangan mata kekasih diikuti oleh pengenalan seorang utusan (dutika atau sakhi) untuk menambahkan ketegangan dan sandiwara dalam kisah cinta tersebut. Setelah mengharungi pelbagai rintangan dan onak duri, akhirnya pasangan kekasih bersatu buat seketika hanya untuk berpisah semula. Kisah cinta ini tentulah akan berakhir dengan pertemuan semula kedua kekasih kerana penamat tragis bukanlah satu pengakhiran yang diingini.

Tidak boleh dinafikan, cinta adalah sebagai suatu wabak buat manusia. Di sebalik cinta ada Nafsu, dikias sebagai Kama, Dewa Cinta mitologi India. Kama bergerak menerusi jiwa manusia dengan cahaya bulan, bersenjatakan busur ajaibnya yang bertalikan lebah madu dan bunga-bungaan sebagai anak panah. Kama mempunyai kuasa untuk menyemai perasaan mabuk cinta, sesuatu yang tidak boleh disangkal oleh mangsa-mangsanya.

Kebanyakkan hasil karya dalam Cinta Tercipta (And There is Love…) menggambarkan cinta di antara sang lelaki dan perempuan secara petah dan puitis. Karya cinta ini boleh dikelaskan kepada dua kategori: karya yang menggambarkan penyatuan (sambogha) pasangan kekasih sejati dan karya yang menggambarkan perasaan cinta semasa perpisahan di antara pasangan kekasih. Semasa perpisahan, hasrat dan keinginan untuk bersatu semula dengan kekasihnya (vipralambha) ditekankan dalam karya beliau.

Tema penyatuan dan perpisahan adalah motif yang sering berulang dalam kesenian visual tradisional, kesusasteraan dan juga kesenian persembahan India. Rasa (keadaan emosi yang tinggi) yang diterokai dalam pameran ini adalah sringara (cinta berahi) – dianggap sebagai emosi manusia yang utama dan satu daripada lapan cabang emosi yang dikaji oleh Bharata, pendeta India yang menjadi pengasas kesenian bangsawan India. Bharata diiktiraf sebagai pengarang ringkasan kesenian bangsawan tertua di dunia, Natya Sastra (kurun kedua hingga ke kelima Masihi), perihal tarian, lakonan dan muzik. Ketiga-tiga kesenian tersebut tidak dapat dipisahkan dalam kesenian tradisional.

Apabila ditanya sekiranya beliau sedar akan kehadiran teori rasa semasa berkarya, Syed Thajudeen menafikannya dan berkata beliau melukis dari jiwanya. Walaubagaimanapun, karya Syed Thajudeen tetap mengandungi rasa, terutamanya sringara, perasaan cinta yang menggambarkan kehadiran kama (dewa cinta) dan sekaligus membuatkan sesiapa yang menatap karya beliau menghargai nilai estetikanya yang tinggi.

Tarikan hasil karyanya terletak pada premis klasik bahawa rasa adalah emosi sejagat dan harus dibangkitkan sebelum penghayatan tersebut dapat dihayati sepenuhnya. Beliau dapat mencungkil pengalaman penuh estetika daripada sesiapa yang menatap karya beliau dengan melapikkan karyanya dengan simbol, motif dan gambaran persekitaran yang secara lembut membangkitkan rasa. Karya beliau dipenuhi dengan kehadiran simbol-simbol yang melambangkan kesuburan seperti ikan, bunga seroja atau teratai, lembu, sayuran serta khayalan flora dan fauna lain… Apabila bersatu dengan ciptaannya; simbol, motif dan persekitaran yang digambarkan, bukan hanya menjadi sebahagian daripada mereka yang menatapnya malah (seperti yang dianalisa oleh Bharata) mereka turut melupakan hal-hal biasa yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka. Mengingati peristiwa silam dapat mencipta kesedaran yang tinggi di sanubari mengenai keindahan alam dan puisi.

Tema cinta berdasarkan penyatuan pasangan kekasih (sambogha) dibayangkan di dalam karyanya seperti The Joy of being Together, Couch of Love, The Embrace dan juga Meeting of the Eyes. Lukisan-lukisan tersebut menggambarkan pasangan kekasih yang unggul dalam keseronokan dan dakapan kasih sayang. Perhatikan persamaan di antara watak utama lelaki atau hero (nayaka) dengan Syed Thajudeen!

(Kapsyen: seseorang akan merasakan keintiman perkongsian cinta (sringara) apabila menatap dakapan pasangan kekasih di dalam Couch of Love atau The Embrace)

Siri kedua yang mempunyai koleksi karya yang banyak, menggambarkan watak perempuan atau heroine (nayika) yang keseorangan dan menantikan ketibaan kekasihnya. Tema ini juga menjadi tema kegemaran senilukis tradisional India. Berpakaian cantik dan molek dalam baju kurung, kebaya pendek, kebaya labuh serta baju kedah, gadis-gadis itu ditempatkan secara halus dan penuh kesenian di dalam persekitaran kemelayuan. Kehadiran motif asli serta simbol berahi mewujudkan suasana yang genting dan mencemaskan bagi gadis yang menanti ketibaan kekasihnya dengan penuh harapan.

Karya yang paling menonjol dalam siri ini adalah Surat Cinta. Si gadis berpakaian baju kebaya yang disulam indah, menggenggam lesu di tangannya sehelai surat cinta. Berteduh di bawah punjung bunga-bungaan , bagai musim bunga bila cinta berputik, si gadis tinggal keseorangan, kecewa dan menderita akibat berpisah daripada kekasihnya.

(Kapsyen: Siri Waiting for the Lover dan Messenger, “Wahai sahabatku! Pergilah kepada dia dan katakanlah aku sedang menunggu…”)

Siri perpisahan dalam cinta (vipralambha) yang memberi penekanan khusus kepada si gadis (nayika) dalam keasyikan cintanya digambarkan dalam karya Longing for Love dan Waiting for the Lover (berpakaian Baju Kedah, Baju Kurung dan Kebaya).

Dalam karya Moon of Ramadhan, Holy Book dan Surrender, perasaan cinta yang digambarkan adalah sangat berbeza. Syed Thajudeen menerokai aspek rasa yang berkait dengan ketaatan kepada Tuhan (bhakti), tahap tertinggi cinta. Perasaan hati di sini penuh dengan keheningan dan kesunyian. Watak karyanya diselubungi suasana yang damai permai dan penuh kesolehan.

Semestinya Lightness of Being adalah karya Syed Thajudeen yang paling puitis, lucu, dan berlirik. Si gadis yang keseorangan itu sudah tentu menjadi ilham Cinta Tercipta. Dia kelihatan terapung di dunia ajaib di dalam laut, lengkap dengan ikan-ikan bercumbuan dan bunga- bunga teratai. Gaya seni tari yang menyatukan kedua-dua tapak tangannya melambang bunga teratai yang mengembang mekar. Rambut ikal mayang yang panjang terapung-apung dibuai arus. Seekor ikan nakal kelihatan mengunggis dadanya yang terdedah.

Karya Syed Thajudeen yang paling agung dalam pameran ini adalah berkenaan peristiwa bersejarah Malaysia. Karya agung yang bertajuk The Beginning ini berdasarkan legenda pengasasan kesultanan Melayu Melaka oleh Parameswara, putera Melayu dari Palembang (Sumatera). Karya ini menggambarkan rombongan Parameswara dalam kekaguman (adbhuta) apabila menyaksikan kewiraan seekor pelanduk kecil berlawan dan mengalahkan anjing buruan diraja. Rombongan tersebut yang sedang berehat dibawah payung dan teduhan pohon Melaka, terpukau dan terpegun melihat keajaiban tersebut. Putera raja kagum dan ingin tau mengenai tempat ganjil yang dapat melahirkan binatang yang begitu berani – kecil tetapi mampu mengalahkan anjing buruan yang besar dan buas.

(Kapsyen : Apabila menatap The Beginning, seseorang akan merasakan kekaguman (adbhuta) bersama-sama dengan Parameswara dalam peristiwa legenda ini…)

Menurut legenda Melayu, Parameswara mentafsirkan peristiwa tersebut sebagai petanda baik dan bertanyakan mengenai pohon yang memberi teduh kepada rombongan baginda. Baginda kemudiannya menamakan negara baru baginda sempena pohon tersebut. Begitulah sejarah pengasasan Melaka pada awal kurun ke -15 dan berkembang menjadi pusat entrepot di laluan selat yang sibuk. Melaka menjadi kesultanan Melayu yang paling berkuasa sehinggalah penjajahan Portugis pada tahun 1511.

Dilukis atas empat panel dan menjangkau lebih enambelas kaki panjang, The Beginning direka khas supaya fokus kita akan dibawa terus ke pertengahan gubahan karya tersebut. Secara perlahan mata si penatap akan menuju kepada objek yang menjadi tatapan dan kekaguman rombongan Parameswara – pelanduk yang menyerang ganas dan anjing buruan yang undur ketakutan. Suasana tersebut bagaikan impian, bagai menyahut kembali kisah legenda tersebut dari awal. Garis bentuk watak-watak dalam karya tersebut bagai terapung-apung atas permukaan kanvas. Kualitinya ditambahkan lagi oleh mainan tona kuning, merah jambu dan hijau kebiruan ala Fauvist.

The Royal Barge dikembangkan daripada The Beginning dan menggambarkan perjalanan Parameswara menaiki jongkang sepanjang sungai Melaka. Raja Hindu Melaka yang pertama dan terakhir serta rombongannya dihiburkan oleh penari dan pemuzik istana. Parameswara memberi isyarat tangan kepada si penari yang terduduk penuh khusyuk. Bagaikan satu adegan wayang, komposisi karya tersebut memberi penghormatan terakhir kepada unsur paganisme sebelum kedatangan Islam ke Melaka. Ia melambangkan pengembaraan diraja terakhir dan penuh keajaiban sepanjang sungai cinta.

(Kapsyen: Seseorang akan merasakan nostalgia apabila melihat kepurbaan dan keperwiraan Parameswara dalam karya The Royal Barge…)

Sifat jasad lukisan Syed Thajudeen yang mempunyai anggota badan yang halus dan panjang serta kepelbagaian flora dan fauna dalam lukisannya, dapat dilihat dengan penggambaran sungai yang dipenuhi dengan ikan (The Royal Barge) atau pusaran buih hijau kebiruan dalam arus sungai (The Beginning). Peminat seni juga haruslah menghayati perincian halus dalam melukis pending Melayu lama, kerongsang dan barang kemas lain termasuk ketelitian dan kehalusan pakaian rombongan diraja. Sesungguhnya, keperincian tersebut membuatkan kita tercari-cari motif-motif asli lain yang tersirat atas ruang kanvas tersebut. Motif-motif itu, tersemadi di dalam karya Syed Thajudeen, memberi sumbangan ke atas gaya lukisan beliau yang teliti

Dalam karya Meeting of Eyes, panel serambi Melayu yang menjadi tempat pasangan kekasih bertentangan mata, dipenuhi dengan ukiran kayu tradisional. Anjungnya dapat dikenali sebagai sebahagian daripada rumah kampung Melayu. Adakah contoh karya lain yang dapat menggambarkan perempuan Melayu berpakaian kebaya, baju kurung, baju kedah atau berkemban yang lebih anggun daripada hasil karya Syed Thajudeen? Menerusi jejari mahirnya, penggambaran perempuan Melayu berpakaian baju tradisional ini sudah tentu akan mencapai status ikon.

Apabila menatap The Beginning, seseorang akan merasakan kekaguman (adbhuta) bersama-sama dengan Parameswara dalam peristiwa mitos berlagenda ini; atau merasakan nostalgia apabila melihat kepurbaan dan keperwiraan Parameswara dalam karya The Royal Barge; sedangkan seseorang itu merasakan keintiman perkongsian cinta (sringara) apabila menatap dakapan pasangan kekasih di dalam Couch of Love atau The Embrace; atau menggeletar dengan kerinduan (viraha) apabila berkongsi lesu harapan penantian serikandi di dalam siri karya Waiting for the Lover; atau digoncang oleh perasaan belas kasihan dan kesolehan ketika menatap Surrender.

The Beginning, The Royal Barge, bersama dengan The Ramayana Triptych:(1972): Ravana Abducts Sita; Hanuman Visits Sita, Hanuman Burns Lanka (Koleksi Balai Seni Lukis Negara), The Advent of Islam(1986) (Koleksi Toh Puan Mahani Daim) dan Irama dan Lagu(1997)( Koleksi Muzium Seni Singapura) merupakan antara siri karya-karya agung Syed Thajudeen yang seharusnya menjadi harta koleksi nasional kita.

Bharata dalam ringkasan teori estetika rasa menyatakan bahawa objektif karya seni adalah untuk membebaskan sang penatap (viewer) daripada beban kebosanan sehariannya.

Hasil karya Syed Thajudeen sememangnya berjaya berbuat begitu.